Dalam episod yang lalu:
( Seekor monyet eksperimental yang asalnya daripada bumi telah sesat dalam satu misi berani-mati jelajah angkasa lepas dan bertembung dengan seekor ayam laga dan arnab comel yang berlagak ala-ala askar militari angkasa. Cerita macam ni memang sangat jarang-jarang ada dalam sejarah slot drama Melayu apatah lagi dalam galur penglipurlaraan kita. Sebab tu cerita ni ‘special’. Faham? )
Keadaan menjadi agak genting dan tegang sekarang ini.
Baluung dan Bani memerhati tepat ke arah Leman dengan kedua-duanya memegang senjata yang agak pelik seakan-akan pistol. Tapi pistol yang mereka acukan ke arah Leman bukan sembarangan pistol. Ini pistol laser yang hanya boleh dilihat dalam filem atau cerita komik atau buku sains fiksyen. Pelik pun ada, kelakar pun ada. Leman memang tidak percaya langsung apa yang dilihat namun hakikatnya sekarang itulah realiti yang sebenar-benarnya. Sudah berulang-ulang kali dia menggosok dan mengenyeh-genyeh mata. Dia ingin memastikan dia tidak berkhayal atau bermimpi. Dan kali ini, dia juga sedang cuba menampar dirinya sendiri.
“PAPP!!”
KELEPAPPP!!!”
PAPP!! PAPPP!!! KELEPAPPPP!!!”
“Aku rasa kau ni yang gila. Kalau tak, apa kena kau tempeleng diri kau sendiri ni? Aku rasa orang gila pun tak gila macam yang kau tengah buat ni”
Baluung yang dari tadi nampak garang-garang takut bersuara kembali.
“Entahnya. Aku tengok pun kau ni lain macam aje. Spesis makhluk apa entah. Tak pernah pun aku tengok makhluk macam kau sebelum ni. Dah berpuluh-puluh misi dah aku pergi, dah berbelas-belas perang dah aku masuk dan langgar. Inilah pertama kali aku nampak makhluk pelik macam kau ni”
Bani menyahut terjahan Baluung pada Leman. Konon-konon jugak tunjuk berani.
Leman perlahan-lahan menggagahkan dirinya untuk bangun dengan kedua-dua belah kakinya yang masih lemah dan tidak berdaya itu.
“Jangan cuba apa-apa yang kurang bijak. Nampak pistol ni. Nanti… nanti…”, Baluung kembali panik tidak tentu arah.
Leman mengangkat tangan kanannya ke arah Baluung dengan menunjukkan isyarat tanda berhenti.
“Nanti dulu… nanti sekejap…”
“Aku dekat mana ni? Mana pod angkasa aku?”
Bani juga menghalakan pistolnya ke arah Leman tetapi langkah kakinya berundur ke belakang. Dia cuba menyorok dan menjadikan tubuh Bakuung yang sedikit besar daripadanya itu sebabagi pendinding. Takut-takut Leman mahu mengapa-apakan dia.
“Kau sekarang berada di sektor Antara, sektor pusat angkasa neutral dan berkecuali. tapi, kamu telah memasuki ruang angkasa kami secara haram dan tidak sah mengikut lunas undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Ruang dan Angkasa. Kamu tidak ada pengenalan diri dan kamu akan ditahan di bawah Akta 441 Persempadanan Batas-batas Ruangan Angkasa Lepas”
“Pesawat kamu telah kami rampas serta-merta”
Pening Leman yang sudah mahu kebah tadi, kini kembali berdenyut.
AKAN BERSAMBUNG…
- Siri grafik novel Manteraworks Bophairy ini akan diterbitkan pada hari SELASA dan KHAMIS setiap minggu






